Aug 16, 2012

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Yang Ke-55



Bersyukuran ke kadrat Ilali dengan rahmatNya Malaysia hari ini kita telah mencapai 55 tahun kemerdekaan.Kita sepatutnya merasa sungguh bertuah kerana telah dilahirkan di tanah tumpah darah kita, Malaysia dan sebagai warganegara yang dapat menikmati keamanan, keharmonian dan hidup selesa hasil dari perjuangan generasi yang terdahulu. Malaysia mampu membangun dengan begitu pesat sejak 1957 dan kini Malaysia mampu mencipta nama di pentas dunia, dalam apa-apa bidang, ekonomi, politik, mahupun teknologi.

Malaysia sangat bertuah .. sebuah negara yang aman. Berbanding dengan negara-negara lain seperti di Iraq, Bosnia di mana perang berterusan. Tetapi kita harus sedar bahawa walaupun tanpa peperangan, tidak mustahil suatu hari nanti negara boleh menjadi "perang". Sebagai mana yang kita tahu pada masa ini perang politik sedang berlaku, atau lebih tepat lagi apa yang sedang berlaku, rasuah, pembunuhan, jurang yang semakin bertambah di antara golongan elit dan golongan miskin.

‘MERDEKA’ bukan sahaja mengenal erti kemerdekaan dari sudut fizikal iaitu bebas daripada kuasa asing, namun yang ingin dilihat adalah erti kemerdekaan dari sudut yang lebih besar iaitu dari sudut mentaliti, sahsiah dan juga sosial kemasyarakatan.

Seharusnya kita ingat, walaupun kita bebas merdeka dalam bentuk fizikal, namun sebenarnya minda masih lagi terjajah.

Menurut Ibnu Khaldun (1332-1406), sarjana sosiologi dan falsafah Islam pernah membuat pemerhatian tentang peristiwa ini. Beliau membuat catatan dalam Muqaddimah, Bab 2, Bahagian 22, bahawa bangsa yang pernah ditakluki oleh sebuah kuasa lain lazimnya terus menjadi kagum terhadap penakluknya. Oleh sebab itu mereka gemar meniru pakaian, simbol, kepercayaan, budaya dan amalan bangsa yang menakluki mereka. Mereka menyangka bangsa yang mengalahkan mereka ialah bangsa yang agung. Akibatnya mereka tidak percaya bahawa mereka mungkin dikalahkan oleh faktor-faktor yang biasa sahaja. Oleh sebab itu, kita tidak berasa hairan apabila ada dalam kalangan kita yang terus mengagumi kuasa Inggeris. Mereka terus terkesima dengan bahasa Inggeris. Mereka tidak dapat melihat kejayaan bahasa Melayu dalam memandaikan rakyat kerana minda mereka sudah terjajah oleh Inggeris. Bagi mereka, bahasa Inggeris dapat digunakan untuk menjayakan segala-galanya. Kejayaan bahasa Melayu melahirkan ribuan doktor, jurutera, ahli kimia, ahli farmasi dan lain-lain, dan mereka yang berjaya ini pula mampu mengikuti pengajian sarjana dan kedoktoran di Korea, Jepun, Rusia, Mesir atau Sweden, tidak membuktikan apa-apa kepada mereka. Mereka tetap terjajah dalam minda yang mengagungkan bahasa Inggeris (Abdullah Hassan 2009 bahasa Melayu di persimpangan: antara jati diri dengan rumpun globalisasi).


Kemerdekaan itu besar ertinya, marilah kita hayati erti kemerdekaan itu sewajarnya, tunjukkan rasa sayang kita kepada negara Malaysia walau sekadar mengibarkan Jalur gemilang. semoga kita menjadi bangsa berdaulat, makmur dan sepakat. Selamat menyambut hari kemerdekaan 55 tahun Malaysia.

0 komen:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More